MRT3 hubungkan perkhidmatan rel Lembah Klang, kata pakar pengangkutan

MRT3 hubungkan perkhidmatan rel Lembah Klang, kata pakar pengangkutan

Safizahanin Mokhtar berkata laluan lingkaran yang dicadangkan itu akan menghubungkan kawasan kejiranan di Gombak, Cheras dan Segambut.

mrt
Dijangka memulakan operasi secara berperingkat bermula 2028, Laluan Lingkaran MRT3 merangkumi laluan 50.8km di sekitar Kuala Lumpur dan mempunyai 31 stesen, termasuk 10 stesen pertukaran.
PETALING JAYA:
Dijangka memulakan operasi secara berperingkat bermula 2028, Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3) menjanjikan untuk menghubungkan dan menyepadukan semua perkhidmatan rel sedia ada di Lembah Klang, menurut pakar pengangkutan.

Goh Bok Yen, yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam perunding pengangkutan bandar-luar bandar, berkata projek ini adalah ‘puzzle yang hilang’ yang akan melengkapkan sistem pengangkutan awam berasaskan rel di Greater Kuala Lumpur.

“MRT, KTM, LRT dan monorel sebelum ini beroperasi secara berasingan tanpa sistem penyelarasan.

“MRT3, yang bergerak dalam bentuk lingkaran, bukan sahaja akan meningkatkan laluan MRT sedia ada tetapi juga membolehkan semua laluan lain beroperasi pada tahap optimum,” katanya kepada FMT.

Safizahanin Mokhtar dari Universiti Teknologi Malaysia berkata cadangan pembesaran laluan MRT ini akan memberi manfaat besar kepada kawasan kejiranan yang sebelum ini kurang liputan perkhidmatan di Gombak, Cheras dan Segambut.

Rancangan sedia ada, yang masih belum dimuktamadkan, menunjukkan bahawa laluan ini akan memberi perkhidmatan kepada kawasan kediaman di sekitar Jalan Langkawi, Danau Kota dan Rejang di Setapak serta Sri Hartamas, Taman Sri Sinar dan Dutamas di Segambut.

“Kejiranan ini kini akan dihubungkan dengan rangkaian Lembah Klang yang lebih luas, membolehkan perjalanan lancar ke hab pekerjaan, komersial dan rekreasi utama,” kata Safizahanin kepada FMT.

Selain mendapat manfaat daripada rangkaian rel yang komprehensif, katanya, penumpang juga boleh mengurangkan masa dan kos perjalanan mereka dengan menggunakan laluan yang lebih pendek melalui stesen pertukaran di sepanjang laluan tersebut.

Laluan Lingkaran ini akan merangkumi 50.8km di sekitar Kuala Lumpur dan mempunyai 31 stesen, termasuk 10 stesen pertukaran.

Pada 2022, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Zarif Hashim berkata bahawa apabila siap, MRT3 akan menjadi tulang belakang rangkaian transit Kuala Lumpur. Beliau berkata laluan ini direka untuk memudahkan peralihan lancar daripada satu mod pengangkutan kepada yang lain.

Zarif juga menyatakan projek ini, yang digambarkan sebagai ‘kepingan akhir’ dalam jigsaw sistem transit Kuala Lumpur, akan melengkapkan rangkaian yang diramalkan di bawah cetak biru pembangunan rel bandar 2010.

Tahun lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata jajaran projek itu akan mengambil masa dua tahun untuk dimuktamadkan, dengan proses pengambilan tanah melibatkan 1,012 plot dijangka bermula tahun ini.

Perjalanan bertambah baik

William Tham, yang baru sahaja menamatkan pengajian sarjana di Universiti Malaya, berkata beliau menjangkakan perjalanan hariannya akan bertambah baik dengan pembinaan Laluan Lingkaran selepas mengalami kesukaran perjalanan dari stesen LRT Universiti ke stesen MRT lain.

“Kebiasaannya, cara paling cepat untuk bergerak antara stesen adalah dengan bas. Tetapi trafik di sepanjang Jalan Universiti menuju ke lebuh raya memang teruk. Jika tidak kena masa, anda akan terperangkap dalam kesesakan trafik,” kata Tham.

Dengan stesen sambungan MRT3 yang dijangka dibina di stesen LRT Universiti, Tham berkata beliau hanya akan berada dua hentian dari stesen Bukit Kiara Selatan di laluan MRT Kajang.

Pemuda berusia 32 tahun itu juga menyokong cadangan untuk membina stesen berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya, kerana memudahkan pelajar universiti dan mereka yang memerlukan rawatan perubatan.

Terima maklum balas awam

Sementara itu, Goh menggalakkan MRTCorp untuk terus melibatkan orang awam mengenai jajaran Laluan Lingkaran yang dicadangkan, sambil menekankan bahawa input tersebut adalah penting untuk mengenal pasti ‘titik lemah’ dalam perancangan itu.

“MRT3 dipilih dengan baik dari segi stesen, tetapi mereka mungkin terlepas beberapa perkara yang akan ditunjukkan dalam proses maklum balas tersebut,” katanya.

Safizahanin pula menggesa pengendali MRT untuk mengambil kira cabaran yang mungkin timbul dengan peningkatan jumlah penumpang, termasuk isu berkaitan penyediaan kemudahan ‘park ‘n ride’ di stesen baharu.

“MRT3 berpotensi untuk meningkatkan keterhubungan dan kesampaian, tetapi hanya jika langkah sewajarnya diambil untuk menangani permintaan tempat letak kereta dan perkhidmatan bas ulang-alik yang cekap,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.