Sanusi mohon ampun lagi kepada Sultan Selangor

Sanusi mohon ampun lagi kepada Sultan Selangor

Menteri besar Kedah hari ini sekali lagi memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah susulan ucapan pada ceramah politik pada 11 Julai 2023.

Sanusi Nor
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor memohon ampun atas ucapan mengguris hati dan perasaan ke atas Sultan Selangor.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah susulan ucapannya dalam satu ceramah di Selangor, yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor.

Sanusi menyuarakan rasa kesal terhadap kenyataannya kerana memberi kesan negatif, serta sedar tindakannya menimbulkan rasa tidak selesa, mengguris hati dan perasaan Sultan Selangor.

“Patik, Sanusi Md Nor, menteri besar Kedah, dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah Tuanku Sultan Selangor atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam daerah Gombak, Selangor seperti mana yang dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati DYMM Tuanku,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman.

Permohonan ampun berkenaan kali kedua selepas perkara sama dibuat pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu kepada baginda, pada Julai 2023.

Pada 29 Feb lalu, Sanusi mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas dua tuduhan menyebut perkataan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, Gombak pada 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Sanusi berkata, beliau tidak berniat mempersendakan Sultan Selangor yang amat dihormati dan disanjungi selama ini.

“Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang khususnya berkaitan kes patik ini apabila berada di Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti mana yang patik perkatakan, walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.”

Justeru, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, beliau memohon beribu keampunan kepada Sultan Selangor, termasuk menteri besar dan rakyat negeri itu atas segala keterlanjuran kata-katanya.

“Patik berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan setiap ucapan patik selaras adab sopan budaya Melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-raja Melayu dan institusi raja. Sekian, menjunjung kasih Tuanku. Patik pacal yang hina.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.