‘Check-in’ lambat, keluar awal: Fomca mahu selaras, setimpal tempahan bermalam

‘Check-in’ lambat, keluar awal: Fomca mahu selaras, setimpal tempahan bermalam

Pemain industri bagaimanapun menjelaskan bahawa hotel mengatur waktu daftar masuk dan keluar berdasarkan keperluan operasi.

Fomca kata tidak wajar ubah waktu ‘check-in’ dan ‘check-out’ sehingga menyebabkan tempoh penginapan tetamu jadi lebih singkat daripada kebiasaan.
PETALING JAYA:
Persatuan pengguna seru kerajaan gubal peraturan untuk selaras waktu daftar masuk dan keluar hotel agar setimpal dengan tempahan bermalam.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata adalah tidak wajar mengubah waktu ‘check-in’ dan ‘check-out’ sehingga menyebabkan tempoh penginapan tetamu menjadi lebih singkat daripada kebiasaan.

Timbalan Setiausaha Agung Nur Asyikin Aminuddin mengesyorkan pendaftaran diselaras mengikut amalan lazim iaitu daftar masuk 3 petang dan daftar keluar 12 tengah hari.

“Adalah sangat tidak adil untuk pengguna yang sudah bayar untuk ‘rate per night’,” katanya kepada FMT.

“Kerajaan kena keluarkan peraturan untuk pihak hotel supaya mereka ada panduan untuk patuhi.”

Baru-baru ini tular di X catatan seorang pengguna platform itu yang tidak berpuas hati apabila hotel tertentu menetapkan daftar masuk pada 4 petang manakala daftar keluar pada 11 pagi.

Pengguna lain berkata masa menginap harus setimpal dengan bayaran bilik yang mahal.

Pemain industri yang dihubungi FMT menjelaskan bahawa hotel mengatur waktu daftar masuk dan keluar berdasarkan keperluan operasi, misalnya penghunian yang tinggi, inventori bilik yang besar, serta kekurangan pekerja.

Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia, Khoo Boo Lim, menjelaskan pendaftaran ditetapkan pada waktu tertentu agar bilik dapat disediakan ‘tepat pada masa’.

“Daripada menerima aduan susulan penyediaan bilik yang tidak dibersihkan dengan betul, pihak hotel lebih suka menasihati tetamu mengenai masa daftar masuk dan keluar semasa mereka membuat tempahan,” katanya.

Dalam pada itu, Khoo berkata masa pendaftaran keluar-masuk yang biasa diamalkan hotel bukan ‘waktu rasmi’.

“Tiada peraturan di mana hotel perlu mematuhinya kerana ia bukan waktu ‘official’,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.