Ubah taktik antara punca isu GISBH lewat didedah, kata MB Selangor

Ubah taktik antara punca isu GISBH lewat didedah, kata MB Selangor

Menteri Besar Amirudin Shari akan menghadap Sultan Selangor hari ini bagi sembah maklum isu GISBH.

amirudin shari
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata ahli GISBH mengehadkan aktiviti kepada anak beranak mereka sekali gus menyukarkan butiran penyelewengan diketahui. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perubahan taktik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) kepada perniagaan didakwa antara punca isu penderaan dan kesalahan syariah agak lewat didedahkan, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian berdasarkan taklimat awal diberikan.

“Berdasarkan taklimat awal dimaklumkan kepada saya selepas pendedahan kes, kebanyakkan GISBH menukar taktik dengan beralih kepada perniagaan dan ia tidak boleh dipantau sepenuhnya.

“Mereka juga mengehadkan aktiviti kepada anak beranak mereka saja dan bukannya orang lain, sekali gus menyukarkan kita tahu butiran penyelewengan dilakukan,” katanya menurut Utusan Malaysia di Shah Alam.

Terdahulu, polis memaklumkan 280 premis dikaitkan dengan GISBH di Semenanjung diserbu, susulan serbuan sebelum ini ke atas 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.

Seramai 156 individu ditangkap, terdiri daripada 80 lelaki dan 76 wanita.

Selain itu, Kementerian Pendidikan akan menyediakan akses pendidikan kepada sekurang-kurangnya 300 anak pengikut GISBH yang kini ditempatkan di rumah perlindungan.

Pada 13 Sept, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata 13 penghuni rumah amal yang diselamatkan disyaki diliwat berdasarkan saringan perubatan, yang semuanya menghuni rumah perlindungan di Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata beliau akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyembah maklum perkembangan isu GISBH hari ini.

Katanya, Sultan Sharafuddin sudah memanggil menghadap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Majlis Agama Islam Selangor (Mais), dan polis beberapa hari lalu.

“Saya juga diberikan taklimat daripada sebahagian mereka dan kita sedang mengambil langkah susulan yang agresif. Insya-Allah saya akan menghadap Tuanku hari ini. Banyak hal akan dimaklumkan dan ini juga berjumpa mingguan dengan baginda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.