
Ketua Polis Muar Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata mangsa berusia 44 tahun terpedaya selepas dijanjikan pulangan 10 hingga 30% dari nilai jualan, namun diarah mendahulukan wang sendiri sebagai modal.
“Bermula 28 Ogos hingga 15 Sept, pengadu membuat transaksi ke dalam lapan akaun bank berbeza berjumlah RM544,444.89 dan sehingga laporan polis dibuat, pengadu gagal mengeluarkan sebarang keuntungan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, malah mangsa diminta membuat lagi pembayaran, namun lelaki itu enggan kerana rasa ditipu.
Katanya, mangsa sebelum itu diminta mendaftar sebagai ejen melalui laman web selepas berkenalan dengan seorang individu menerusi Facebook.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Polis menasihati orang ramai agar berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati terutama melibatkan urusan transaksi kewangan.
Orang ramai digalak menggunakan semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang pembayaran atau transaksi dalam talian bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.