
Seorang pendidik I Lourdesamy berkata kepada FMT bahawa mungkin terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa murid-murid ini lemah dalam kemahiran tersebut.

Lourdesamy berkata objektif utama Tahun 1 seharusnya bukanlah untuk menguasai kandungan akademik semata-mata, tetapi lebih kepada pembelajaran menyelesaikan masalah dan membina kemahiran sosial.
Menurutnya, program intervensi itu juga boleh menimbulkan masalah, kerana murid yang terlibat mungkin menghadapi jurang dalam pembelajaran apabila mereka kembali ke kelas biasa.
Pakar sosiologi pendidikan Anuar Ahmad turut berpendapat bahawa Tahun 1 adalah masa untuk kanak-kanak belajar kemahiran 3M.
“Kenapa mereka perlu ‘intervensi’ apabila mereka baru sahaja memasuki Tahun 1 untuk belajar kemahiran 3M?”
“Mereka sebenarnya mempunyai tiga tahun sehingga Tahun 3 untuk menguasai kemahiran tersebut,” katanya.
Anuar juga mempersoalkan penggunaan istilah ‘ketinggalan’ dan ‘intervensi’ oleh pegawai kementerian pendidikan.
Beliau berkata mengikut standard antarabangsa, seorang kanak-kanak hanya dianggap ‘ketinggalan’ dalam kemahiran literasi dan numerasi apabila mereka berusia 10 tahun ke atas.
Pada awal bulan ini, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata seramai 122,062 Murid Tahun 1 dikenalpasti gagal menguasai 3M dan perlu mengikuti program intervensi.
Katanya, 27.5% murid mewakili daripada keseluruhan 448,113 Tahun 1 itu perlu mengikuti program intervensi selama tiga bulan bermula bulan lalu.
Seramai 62,928 murid masih belum menguasai literasi dan numerasi di tahap penguasaan minimum iaitu Tahap Penguasaan 1, katanya, manakala 45,465 murid belum menguasai literasi dan baki 13,669 murid belum menguasai numerasi.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia, Noor Azimah Abdul Rahim, berkata bahawa sukatan pelajaran sekolah rendah untuk Matematik, Sains, Bahasa Melayu, dan Bahasa Inggeris mengandungi terlalu banyak topik dalam mata pelajaran tersebut.
“Fokus sepatutnya adalah pada penghayatan topik-topik ini sambil menanamkan kemahiran berfikir secara kritis dan penyelesaian masalah,” katanya kepada FMT.
Noor Azimah juga menggesa Kementerian Pendidikan untuk menunjukkan kepada ibu bapa jangka masa dan hasil yang diharapkan daripada program tersebut.