
Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata, siasatan KPDN terhadap GISBH terkait kawal selia bawah Akta Syarikat 1965.
Pada masa ini, katanya, pihaknya masih menyemak semula pendaftaran syarikat induk bernaung bawah GISB serta anak syarikatnya.
Semakan ini termasuk dari aspek pematuhan penghantaran laporan tahunan dan penyata kewangan, tambahnya.
“KPDN menerusi Suruhanjaya Syarikat (SSM) sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lain terutama polis,” katanya selepas sebuah majlis di Ipoh hari ini, lapor Berita Harian.
“Pada peringkat ini, siasatan utama dilakukan polis dan kita melihat aspek pematuhan undang-undang syarikat … kita bekerjasama rapat dengan polis untuk melengkapkan siasatan, membantu dalam apa-apa perkara terkait akta bawah bidang kuasa SSM.”
Pada Sabtu, Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh dilaporkan berkata, SSM sudah memulakan semakan terhadap pematuhan perniagaan GISBH, dengan kertas siasatan akan dibuka oleh Bahagian Pematuhan.
Armizan hari ini mengakui wujud cubaan pihak GISBH melindungi premis mereka daripada siasatan pihak berkuasa, termasuk menanggalkan serta menukar papan tanda premis menjadi nama syarikat lain, seperti yang berlaku di Ipoh serta di Kota Bharu, Kelantan.
Dalam pada itu, katanya, KPDN turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau produk perniagaan GISBH yang dipasarkan melalui platform media sosial.
“Setakat ini, KPDN tiada menerima laporan mengenai kesalahan itu dari aspek perihal dagangan,” katanya.