4.5 juta pelancong Muslim jana pendapatan RM14.7 bilion tahun lepas

4.5 juta pelancong Muslim jana pendapatan RM14.7 bilion tahun lepas

Pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim mempunyai potensi ekonomi yang besar di negara ini, menurut Ketua Pengarah ITC Nizran Noordin.

Menjelang 2028, pasaran kembara diunjurkan akan diterajui sebanyak 230 juta orang yang beragama Islam, menjana perbelanjaan sebanyak USD225 bilion.
KUALA LUMPUR:
Malaysia merekodkan kemasukan 4.5 juta pelancong Muslim tahun lepas, menjana pendapatan RM14.7 bilion, menurut Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC) Nizran Noordin.

Nizran berkata, ini membuktikan pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim mempunyai potensi ekonomi yang besar di negara ini.

Katanya, data merekodkan populasi penduduk dunia terdiri daripada dua bilion umat Islam, dengan 1.1 bilion penduduk negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), iaitu gabungan 57 negara Islam seluruh dunia.

Selain itu, sejumlah 255 juta merupakan umat Islam di negara Asean, manakala 350 juta populasi Muslim di negara minoriti Muslim.

“Pasarannya amat besar, Mastercard-CrescentRating (Indeks Perjalanan Muslim Global) memberi unjuran pada 2028, pasaran kembara akan diterajui sebanyak 230 juta orang yang beragama Islam, menjana perbelanjaan sebanyak USD225 bilion (RM987 bilion),” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV bertajuk ‘Malaysia Destinasi Mesra Muslim Terbaik’.

Sebagai usaha menggalakkan sektor itu, Nizran berkata, ITC menyediakan Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) bagi tempat penginapan dan menyediakan kira-kira 220 Pemandu Pelancong Mesra Muslim (MFTG).

Sementara itu, katanya, ITC turut menganjurkan Bulan Pelancongan Islam (ITM) bermula 16 Ogos sehingga 30 Sept, antaranya menawarkan penginapan dan pakej pelancongan, pelancongan masjid, kecantikan dan spa, tarikan pelancongan serta acara dan pameran.

Pihak yang berminat menyertai ITM boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sesawang www.itm.itc.gov.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.