
Pengerusi BN berkata ini kerana terdapat pengundi Cina yang tinggal dan bekerja di luar DUN Mahkota.
“Ada yang tinggal di luar daerah Kluang serta ramai juga bekerja di Johor Bahru dan Singapura.
“Semalam perkara itu dibawa oleh menteri besar Johor (Onn Hafiz Ghazi) kepada saya sebab saya semalam satu hari penuh berada di DUN Mahkota,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) dan sesi libat urus 66 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta swasta bersama 12 kementerian TVET.
Sabtu lalu, media melaporkan DAP mengecam tindakan ‘kotor’ pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan surat layang untuk menghasut pengundi Cina tidak mengundi calon BN pada PRK Mahkota 28 Sept ini.
Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, berkata surat layang dengan cetakan komputer menggunakan tulisan Cina itu diedarkan dari rumah ke rumah dengan memasukkannya dalam peti surat kawasan perumahan di Taman Sri Kluang, dan Taman Suria termasuk Taman Lian Seng dan Taman Pelangi, iaitu kawasan penduduk majoriti Cina.
Surat layang itu menggesa pengundi Cina tidak undi BN pada PRK Mahkota supaya memberi pengajaran kepada Umno yang didakwa sombong sekali gus untuk semak dan imbang dalam kerajaan Johor.
Mengulas lanjut, Zahid berkata beberapa usaha dilakukan bagi memastikan peratusan pengundi Cina keluar mengundi ‘tidak kecil’ seperti di PRK Sungai Bakap.
“Maka di DUN Mahkota kita usahakan bersama dengan semua parti komponen dalam kerajaan perpaduan ini untuk mengusahakan mereka kembali mengundi 28 Sept ini,” katanya.