Tak perlu ikut rentak pembangkang, Anwar diberitahu

Tak perlu ikut rentak pembangkang, Anwar diberitahu

Penganalisis berkata perdana menteri tidak perlu layan gesaan pembangkang untuk meletakkan jawatan.

Kelmarin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat Perdana Menteri Anwar Ibrahim seharusnya mengambil sikap tidak melayan gesaan pembangkang untuk turun daripada jawatan berbanding sekali lagi mencabar mereka membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, kerajaan perpaduan dipimpin Anwar ketika ini kukuh dan kuat, dengan memiliki lebih daripada dua pertiga majoriti serta sokongan utuh rakan komponen termasuk parti Sabah dan Sarawak.

“Anwar tak patut layan pun pembangkang ini. Lebih baik fokus kepada negara. Bila mencabar pembangkang ini seolah-olah memperlihatkan beliau juga mengikut rentak mereka.

Mazlan Ali.

“Kalau perdana menteri cabar sekalipun tak mungkin pembangkang boleh menyahut cabaran tersebut. Lagipun, pembangkang pada masa ini tidak mungkin dapat memujuk Umno/Barisan Nasional dan juga parti-parti Sabah dan Sarawak untuk alih sokongan kepada mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pembentangan usul tidak percaya tidak memberi ruang kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin untuk membuktikan dakwaan konon beliau mempunyai akuan berkanun (SD) yang cukup.

“Itu pun sudah tak relevan memandangkan SD tidak dapat digunakan sekarang mengikut akta antilompat parti. Ia menetapkan sokongan hanya boleh dibuat ketua parti.

“Biarpun ada sekalipun beberapa orang Ahli Parlimen secara individu menyokong Muhyiddin, tanpa memperoleh mandat daripada parti atau ketua parti, SD itu tak bawa apa-apa makna,” katanya.

Kelmarin, Anwar sekali lagi mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Katanya, pembangkang perlu mengikut undang-undang dan bukan sewenang-wenang menggesanya untuk ‘turun’ daripada jawatan.

Cabaran dilontarkan itu susulan usul diluluskan pada Muktamar Pemuda PAS supaya Anwar meletak jawatan atau diturunkan segera.

Ini bukan kali pertama Anwar mencabar Perikatan Nasional membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat. Cabaran sama pernah dibuat pada 11 Jan tahun ini dan 6 Mei tahun lalu.

Gesaan untuk menguji keabsahan Anwar susulan dakwaan presiden PKR itu tiada majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen, merujuk kepada gerakan Langkah Dubai.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata keberanian Anwar melontarkan cabaran disebabkan mengetahui kesukaran pembangkang mendapatkan majoriti di Parlimen memandangkan ia adalah ‘Dewan terbuka’.

Syaza Shukri.
Syaza Shukri.

“Siapa antara dalam kerajaan yang berani secara terbuka melawan parti masing-masing?” soalnya sambil menambah gerakan Langkah Dubai mungkin lebih kepada perbincangan.

“Tak rasa mereka benar-benar ada SD. Ahli Parlimen terikat dengan parti mereka berkenaan akta antilompat parti. PAS juga baru meluluskan usul sama dalam muktamar baru-baru ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.