Gerakan sasar menang 1 kerusi Parlimen, 2 DUN di setiap negeri ditandingi

Gerakan sasar menang 1 kerusi Parlimen, 2 DUN di setiap negeri ditandingi

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata, pihaknya akan menubuhkan jentera pilihan raya mulai sekarang.

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata, bagi pilihan raya akan datang, pihaknya akan mengutamakan kualiti calon berbanding hierarki jawatannya dalam parti.

PETALING JAYA:Gerakan menyasarkan menawan sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN yang boleh dimenanginya di setiap negeri pada pilihan raya akan datang.

Presidennya, Dominic Lau berkata, pihaknya juga akan segera mewujudkan jentera pilihan raya dan mengarahkan calon berpotensi menang turun padang menyantuni pengundi.

“Tidak semestinya kita akan tanding hanya satu (kerusi) Parlimen, dua DUN sahaja di setiap negeri. Yang kita sebut, satu Parlimen, dua DUN setiap negeri itu, kerusi kita sasar menang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Selangor di Bandar Utama.

“Dan bagi kerusi kita sasar menang itu, jentera (akan) ditubuh sekarang, (berbanding) dahulu ditubuh selepas Parlimen bubar. Calon mesti dikenal pasti dan (diarah) turun padang buat kerja (mulai) sekarang.”

Berhubung calon, Dominic berkata, Gerakan akan mengutamakan kualiti calon berbanding hierarki jawatannya dalam parti.

Menurutnya, calon yang akan dipertaruhkan mestilah mempunyai pemahaman yang kukuh tentang penggubalan dasar dan undang-undang.

“Jika calon terpilih (jadi wakil rakyat), mereka (akan) buat dasar, gubal undang-undang …. jadi kena faham (tentang) rang undang-undang (RUU) dahulu.

“Jika tak faham (RUU), macam mana nak wakili rakyat dengan baik pada peringkat DUN atau Parlimen,” katanya.

Tambahnya, parti turut memutuskan sesiapa yang berminat menjadi calon, baik pada peringkat pusat mahupun negeri, wajib menghadiri sidang Parlimen dan DUN untuk memahami peranan sebagai wakil rakyat.

Pada PRU15, Gerakan tewas di semua kerusi Parlimen ditandinginya, dan hanya menang satu kerusi DUN, iaitu di Kulim menerusi Wong Chia Zhen, yang kini menjadi exco dalam kerajaan negeri Kedah pimpinan Sanusi Nor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.