
Permohonan reman ke atas kesemua individu berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun itu dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar Md Subri Hashim dan mereka ditahan di lokap berpusat IPD Shah Alam, Subang Jaya serta Petaling Jaya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.
Kesemua individu yang terdiri daripada 13 lelaki dan 16 wanita itu tiba di Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 11.30 pagi.
Terdahulu, polis Selangor menyerbu beberapa rangkaian perniagaan yang sebahagian besarnya dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH dalam satu operasi bersepadu di Bandar Country Homes, Rawang pagi semalam.
Serbuan bermula 6.30 pagi itu melibatkan kira-kira 200 anggota polis Selangor dengan bantuan Pasukan Simpanan Persekutuan serta kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam dilaporkan berkata, Op Global memasuki fasa keempat di seluruh Semenanjung Malaysia dengan serbuan dilakukan di 82 premis, 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan,manakala 155 suspek terdiri 78 lelaki dan 77 wanita ditahan.
Razarudin berkata, dalam operasi yang turut disertai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barangan khurafat turut dirampas.
Pada 11 Sept lepas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Global menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH dan menyelamatkan 402 kanak-kanak serta remaja masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun.