PM kunjungi 3 PPS di Kedah hari ini

PM kunjungi 3 PPS di Kedah hari ini

Anwar Ibrahim akan mengunjungi PPS Stadium Sultan Abdul Halim, diikuti PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah dan PPS Sekolah Kebangsaan Titi Gajah.

Bagi keseluruhan Kedah, jumlah mangsa banjir dipindahkan di 42 PPS di enam daerah meningkat kepada 7,494 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 6,760 pada 8 malam tadi. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini dijadual mengunjungi tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Kedah.

Dalam lawatan singkat tersebut, Anwar akan meninjau situasi banjir di negeri itu dengan mengunjungi PPS Stadium Sultan Abdul Halim, diikuti PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah dan seterusnya ke PPS Sekolah Kebangsaan Titi Gajah.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 8 pagi ini ketiga-tiga PPS tersebut menempatkan seramai 1,349 mangsa daripada 467 keluarga dari daerah Kota Setar.

Bagi keseluruhan Kedah, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di 42 PPS di enam daerah meningkat kepada 7,494 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 6,760 orang pada 8 malam tadi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dilaporkan berkata perdana menteri akan turun ke Kedah hari ini bagi meninjau situasi terkini banjir.

Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta jabatan dan agensi berkaitan telah digerakkan ke PPS di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.