
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Mohammad Fahmi Ngah berkata tindakan segera amat kritikal ketika ini selepas siasatan hasil kerjasama orang awam, agensi agama Negeri dan agensi penguatkuasaan persekutuan terhadap GISBH.
Katanya, pasukan khas bagi menyiasat ajaran sesat yang diketuai oleh pengarah Jais juga sedang berusaha mengukuhkan beberapa keperluan kes melibatkan pimpinan atasan dan beberapa kegiatan individu lain mengikut beberapa seksyen Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.
“Jais akan membentangkan laporan penuh kepada saya pada minggu hadapan mengenai tindakan-tindakan yang telah, dan akan diambil selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor.
“Saya juga akan diberi taklimat tentang langkah semasa Jais bagi mengekang dan mengambil tindakan undang-undang berkenaan, termasuklah perkara berkaitan sekolah agama dan tahfiz di bawah GISBH di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.
Fahmi berkata beliau juga akan diberi taklimat tentang profil 30 rumah amal di bawah GISBH di Selangor yang dilaporkan oleh Jais kepadanya sebelum ini.
“Ini termasuklah tentang dakwaan berlakunya perlantikan ahli jawatankuasa masjid dari kalangan ahli GISBH di sebuah masjid di Rawang dan isu surau Al Ikhwan.
“Saya berharap agar umat Islam dalam situasi ini dapat membantu pihak berkuasa, bukannya saling menuding jari,” katanya yang menambah orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membuat aduan ke Jais.
Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISBH dan rangkaiannya.
Baginda bertitah menurut laporan diterima, kebanyakan rumah amal bawah pengawalan GISBH yang disiasat, telah lama beroperasi di beberapa negeri di negara ini khususnya Selangor tanpa pendaftaran seperti keperluan undang-undang.
Sultan Selangor bertitah, baginda kesal dan kecewa kerana perkara itu berlanjutan bagi tempoh lama dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menangani perkara berkenaan.
Baginda bertitah, kelewatan menangani perkara itu menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam berkaitan GISBH dan rangkaiannya, sehingga menyebabkan perkara tersebut menjadi begitu serius dan tidak terkawal.
“Menyedari isu yang berlaku, ini satu perkara yang serius serta melibatkan umat Islam di negara ini, beta telah memanggil mengadap pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, pengarah Jais, ketua polis Selangor dan beberapa anggota Mais dalam satu mesyuarat bagi mendapatkan maklumat lengkap dan mengenal pasti langkah-langkah segera yang perlu diambil bagi menangani perkara ini,” titah baginda.