‘Hampir setiap hari saya ulak-alik ke Mahkota’, Akmal nafi peranan dikurang

‘Hampir setiap hari saya ulak-alik ke Mahkota’, Akmal nafi peranan dikurang

Ketua Pemuda Umno berkata tiada arahan supaya beliau memperlahankan gerak kerja kempen dalam membantu calon BN Syed Hussien Syed Abdullah.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh hadir program pertandingan memancing bersama calon BN Syed Hussien Syed Abdullah di Taman Ilham, pagi ini. (Gambar UMNO Online)
KLUANG:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menafikan laporan peranannya dikurangkan dalam kempen PRK Mahkota ekoran pertembungannya dengan pemimpin DAP Teresa Kok mengenai sijil halal.

Sebaliknya, exco Melaka berkata hampir setiap hari beliau turun ke Mahkota dari Merlimau, bagi memastikan gerak kerja Pemuda berjalan lancar dalam memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah.

“Tak ada langsung istilah peranan dikurangkan…malah tiada arahan apa pun. Saya sendiri berada di sini sejak 7 Sept dan balik sekejap-sekejap ke Merlimau, kemudian datang semula ke sini.

“Tiada pun diminta tak turun ke apa…memang tak ada sebab saya berada di Mahkota sekarang, hampir setiap hari saya berulang-alik memastikan kempen bergerak lancar,” katanya kepada FMT.

Dr Akmal Saleh bersama Syed Hussien Syed Abdullah.

“Isu saya dengan Kok sebenarnya tak perlu dipolemikkan pun di Mahkota kerana yang bertanding bukan saya atau orang lain tetapi Hussien,” katanya ketika hadir program pertandingan memancing bersama Hussien di Taman Ilham, pagi ini.

Sebelum ini, FMT memetik sumber Umno sebagai berkata peranan Akmal dikurangkan bagi mengelakkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengundi Cina susulan kelantangannya dalam isu pensijilan halal.

Mengulas perkara itu, Akmal berkata setakat ini isu berkenaan tidak menjejaskan keseluruhan kempen BN dan kerajaan perpaduan, malah semua pengundi tanpa mengira latar menyambut baik kehadiran Hussien.

“Bila kita turun ke kawasan orang Cina, mereka terima kita dengan sangat baik…malah tak kira apa bangsa sekali pun, mereka terima kita.

“Nak tak nak, inilah politik (ada pertikaman lidah) tetapi apa sekali pun, saya meletakkan kepentingan dan fokus saya selama dua minggu ini untuk memastikan Hussien menjadi wakil rakyat pada 28 Sept ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.