PN tak kemuka cadangan baru, tetap tolak draf MoU, kata Muhyiddin

PN tak kemuka cadangan baru, tetap tolak draf MoU, kata Muhyiddin

Pengerusi PN itu berkata PN tetap menolak draf MoU itu kerana bertentangan dengan perlembagaan dan sifat murni rakyat Malaysia.

Muhyiddin
Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin berkata Ahli Parlimen pembangkang kini berlapang dada dengan keputusan kerajaan yang tidak memberi peruntukan kepada mereka.
KLUANG:
Perikatan Nasional (PN) tidak akan mengemukakan sebarang cadangan baharu berkaitan draf memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu juga sekali lagi menegaskan mereka tetap dengan keputusan menolak MoU peruntukan berkenaan yang disifatkan bertentangan dengan perlembagaan dan sifat murni rakyat Malaysia.

“Tak ada, tak apalah Ahli Parlimen kita (pembangkang) berlapang dada. Tidak apa anda tidak berikan kepada kami, kami boleh teruskan berjuang untuk rakyat…susah rakyat, kita akan tolong buat apa yang kita termampu buat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perjumpaan dan sesi dialog bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh individu.

Turut hadir Ketua Penerangan PN Azmin Ali dan calon PN pada PRK DUN Mahkota Mohamad Haizan Jaafar.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang juga ketua whip kerajaan perpaduan berkata pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas mengenai draf MoU itu.

PRK Mahkota pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Syed Hussien Syed Abdullah dengan Haizan.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.