Lelaki maut ditetak jiran selepas bantu isteri suspek lapor polis

Lelaki maut ditetak jiran selepas bantu isteri suspek lapor polis

Polis berkata, suspek lelaki bertengkar dengan isterinya dan wanita itu dikatakan lari ke rumah mangsa sebelum dibawa ke Balai Polis Keningau membuat laporan.

Keadaan di lokasi mangsa ditetak jirannya di Jalan Lingkudau, Keningau. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut ditetak di Jalan Lingkudau, Keningau, selepas membantu jirannya membuat laporan polis malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam, mangsa 58 tahun dilaporkan maut akibat parah di tangan selepas ditetak suami jiran dibantunya.

Pemangku Ketua Polis Keningau, Alizam Dalaman, berkata suspek lelaki berusia 40 tahun bertengkar dengan isterinya dan wanita itu dikatakan lari ke rumah mangsa sebelum dibawa ke Balai Polis Keningau membuat laporan.

“Mangsa dan isterinya membantu isteri suspek membuat laporan di Balai Polis Keningau.

“Namun, setibanya di balai, mangsa dihubungi anaknya berusia 25 tahun memaklumkan suspek dalam keadaan marah di depan rumah mereka,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa bersama seorang lagi anak lelakinya berusia tujuh tahun menaiki kereta balik ke rumah melihat keadaan sebenar, sementara isteri suspek berjalan kaki pulang ke rumah untuk meredakan kemarahan suspek.

“Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, mangsa berjumpa suspek dan berlakunya pertengkaran antara mereka.

“Suspek dilaporkan terus menetak tangan mangsa sehingga menyebabkan pendarahan teruk di depan anak mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang.”

Menurutnya, isteri suspek kemudian tiba bersama anggota unit kereta peronda (MPV) dan menemui mangsa dalam keadaan parah.

Alizam berkata, anggota MPV segera memaklumkan pihak hospital untuk memberi bantuan, tetapi mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, polis giat memburu suspek yang melarikan diri dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Punca pergaduhan antara suspek dan mangsa disebabkan rasa tidak puas hati atau cemburu suspek terhadap mangsa yang menolong isterinya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.