Alif Teega didakwa salah guna wang program buka puasa di Palestin

Alif Teega didakwa salah guna wang program buka puasa di Palestin

Bagi dua pertuduhan, Mohd Hazalif Mohd Hazani didakwa menyalahgunakan wang sumbangan berjumlah RM63,605.

Aif Teega
Mohd Hazalif Mohd Hazani atau Alif Teega dibenarkan ikat jamin RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Pempengaruh Mohd Hazalif Mohd Hazani didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM63,605 termasuk untuk program berbuka puasa di Makkah, Syria dan Palestin.

Tertuduh yang lebih dikenali Alif Teega, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hazalif didakwa secara tidak jujur menggunakan wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi program Infaq Iftar Di Makkah, Syria, Palestin pada 26 April.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM27,558.13 untuk program Jom Sertai Infaq Daging Qurban pada 15 Jun.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku di CIMB Bank, KL Gateway dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara di antara enam bulan hingga lima tahun, sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala Alif diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan.

Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 selain meminta menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan 21 Oktober depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.