Tambah baik dasar pendidikan elak pelajar jadi bahan uji kaji, gesa PIBGN

Tambah baik dasar pendidikan elak pelajar jadi bahan uji kaji, gesa PIBGN

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional juga menyokong cadangan merombak dasar berkait peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3.

sekolah
Presiden PIBGN, Mohamad Ali Hasan berkata pemansuhan UPSR dan PT3 sebelum ini menyebabkan tidak ada cara yang boleh mengukur tahap pelajar di peringkat rendah dan menengah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kajian menyeluruh untuk menambah baik dasar pendidikan perlu dilaksanakan bagi mengelak murid dan pelajar sekolah jadi bahan uji kaji, gesa Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).

Presidennya Mohamad Ali Hasan berkata kerajaan sepatutnya menumpukan untuk menambah baik sistem pendidikan sedia ada bukannya menggantikan ia terus dengan sistem yang baharu.

Beliau memberi contoh pemansuhan peperiksaan yang dilaksanakan bagi menggantikan sistem pendidikan sebelum ini menyebabkan sukar untuk mengukur tahap pelajar.

Mohamad Ali Hasan.

“Bila uji kaji (peperiksaan) dilakukan, ia dapat penilaian dan kelemahan dan kekurangan atau adanya kebaikan sistem tersebut.

“Sepatutnya dikekalkan sistem yang lebih baik dan gunakan sistem itu untuk tujuan berterusan, bukan ambil lain sistem tanpa menumpukan penambahbaiakn sistem yang ada,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang mahu dasar berkait peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 dirombak.

Zahid membuat gesaan itu selepas difahamkan kebanyakan daripada lebih 10,000 yang tidak menduduki SPM tahun lalu tidak boleh membaca, menulis, atau mengira (3M).

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid Tahun 6 dimansuhkan pada 2021 dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada 2022.

Ia digantikan dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

UPSR diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul, manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Mengulas lanjut, Ali berkata cadangan Zahid itu perlu diperhalusi dan mungkin boleh dilaksanakan semula.

Menurutnya, dengan pemansuhan UPSR dan PT3 sebelum ini menyebabkan tidak ada cara yang boleh mengukur tahap pelajar di peringkat rendah dan menengah sebelum sampai ke SPM.

“Peperiksaan yang ada dahulu menilai 3M di peringkat sekolah rendah dan pertengahan supaya ia dapat dikuasai, sebelum pelajar dapat menghadamkan subjek sains, teknologi di peringkat menengah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.