
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata hakim mahkamah syariah akan mendengar keterangan lisan dan meneliti dokumen bagi menentukan perkahwinan itu mengikut hukum syarak atau sebaliknya kerana penentuan nasab terletak di bawah bidang kuasanya.
“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tak boleh mendaftarkan anak tadi sebab tak ada dokumen sah yang menyatakan wujudnya perkahwinan sah.
“Jabatan Agama Islam negeri-negeri boleh mengeluarkan sijil pernikahan dan sijil pernikahan yang ada itulah yang membolehkan JPN mendaftarkan dan mengeluarkan sijil kelahiran sah untuk anak-anak,” katanya selepas Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH di Menara Tabung Haji.
Beliau berkata, penentuan sah taraf penghuni rumah amal dikaitkan dengan GISBH penting demi masa depan kanak-kanak terbabit.
Terdahulu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dari 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan menerusi Op Global pada 11 Sept lalu.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan mendapati sebahagian kanak-kanak itu di ‘bin’ kan Abdullah, yang mana ibu bapa tidak tahu status kanak-kanak terbabit anak mereka atau sebaliknya.