
Wan Saiful berkata beliau berhubung dengan kementerian terlibat mengenai keperluan tambahan termasuk perbelanjaan luar jangka yang diperlukan mangsa khususnya di Tasek Gelugor.
“Saya mengikuti secara dekat keadaan cuaca tidak menentu seperti ribut dan banjir, ada mangsa perlu tempat tinggal sementara dan semuanya perlu bantuan pembersihan rumah pasca banjir.
“Saya harap bantuan segera dapat diluluskan dan diagihkan,” katanya dalam kenyataan.
Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menjejaskan ribuan penduduk di utara tanah air dengan Kedah merekodkan mangsa tertinggi iaitu lebih 3,443 mangsa.
Di Pulau Pinang, seramai 659 mangsa daripada 173 keluarga dilaporkan masih ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS).
Di Perlis, dua PPS dibuka di Arau dan Kangar yang menempatkan 41 mangsa.
Sementara itu, Wan Saiful menegur segelintir pihak yang mengambil kesempatan atas bencana yang berlaku dengan membuat dakwaan palsu, seolah-olah pembangkang tidak turun ke lapangan.
“Saya menyeru agar semua pihak hentikan budaya ambil kesempatan politik atas bencana sebaliknya beri tumpuan kepada membantu mangsa, tanpa mengira parti,” katanya.