Muda Kluang nafi bantu PN di Mahkota

Muda Kluang nafi bantu PN di Mahkota

Ketua Muda Kluang, Farkhann Rastigil berkata ahli parti menghadiri ceramah PN sebagai pemerhati bagi 'meraikan perayaan demokrasi'.

Beberapa ahli Muda menghadiri ceramah PN di Kluang malam tadi.
KLUANG:
Muda Kluang menafikan ia membantu kempen Perikatan Nasional (PN) pada PRK Mahkota, selepas beberapa ahlinya dilihat menghadiri ceramah gabungan pembangkang di sini, malam tadi.

Farkhann Rastigil yang mengetuai Muda Kluang berkata, mereka hanya menghadiri ceramah itu sebagai pemerhati dan pucuk pimpinan parti belum memutuskan sama ada ia akan menyokong PN pada PRK Mahkota.

“Kami hanya di sini untuk meraikan perayaan demokrasi yang berlaku di Mahkota,” katanya kepada FMT.

Ditanya sama ada beliau akan menghadiri ceramah Barisan Nasional (BN) juga, beliau berkata, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah ialah kawan rapat.

“Mungkin saya takkan hadiri ceramahnya sebagai ahli parti, tetapi sebagai kawan. Saya pengundi di Mahkota, jadi saya ingin tahu apa yang mereka (BN) boleh tawarkan juga.”

Ketua Penerangan PN, Azmin Ali (kanan) dan pemimpin Muda Kluang, Farkhann Rastigil selepas ceramah PRK Mahkota malam tadi.

Malam tadi, Ketua Penerangan PN, Azmin Ali berharap Muda akan menyokong gabungan itu pada PRK Mahkota.

Menyedari kehadiran ahli Muda di ceramah itu, beliau mendakwa mereka memaklumkan akan membantu PN dalam kempen PRK terbabit.

Azmin yang juga pengarah PN bagi PRK Mahkota berkata, kehadiran ahli Muda malam tadi petanda baik mereka akan membantu PN.

Minggu lalu, Muda dilaporkan berkata, ia tidak akan menyertai PRK Mahkota kerana mahu memfokuskan usaha mengukuhkan akar umbinya di Johor.

Muda juga tidak bertanding mana-mana PRK sebelum ini, termasuk PRK Nenggiri di Kelantan bulan lalu dan PRK Kuala Kubu Baharu di Selangor Mei lalu.

PRK Mahkota pada 28 Sept ini akan menyaksikan pertembungan Syed Hussien dengan Haizan Jaafar dari PN. Pengundian awal pada 24 Sept ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.