Diplomasi senyap kunci selesai pertikaian Laut China Selatan, kata diplomat

Diplomasi senyap kunci selesai pertikaian Laut China Selatan, kata diplomat

Diplomat veteran Singapura, Kishore Mahbubani berkata berbincang secara bersemuka, secara sulit dan tidak direkodkan, adalah sangat berjaya.

Kishore Mahbubani
Diplomat veteran Singapura, Kishore Mahbubani ketika menyampaikan ceramah di Taylor’s University pada Jumaat lalu bertajuk ‘US-China Rivalry: Will Southeast Asia Come Out on Top?’. (Gambar Taylor’s University)
PETALING JAYA:
Diplomat veteran Singapura, Kishore Mahbubani berkata Malaysia mengambil pendekatan yang betul dalam menangani pertikaian yang timbul dengan China di Laut China Selatan.

Bercakap kepada FMT, bekas presiden Majlis Keselamatan PBB itu menggesa Putrajaya terus berunding dengan Beijing melalui saluran diplomatik bagi menyelesaikan isu berkaitan pencerobohan China ke dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia baru-baru ini.

China menuntut kedaulatan hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk sebahagian 200 batu nautika EEZ di pesisir pantai Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei, dan Taiwan.

“Satu pelajaran besar yang saya pelajari dalam diplomasi ialah diplomasi umum yang menggunakan megafon biasanya gagal. Diplomasi secara rahsia, di mana anda berbincang secara bersemuka, secara sulit dan tidak direkodkan, adalah sangat berjaya,” kata Mahbubani.

“China mempunyai masalah dengan Vietnam dan Filipina. Di satu pihak, terdapat banyak keriuhan. Di pihak yang lain, tiada keriuhan. Dan selalunya, pihak yang tidak riuh adalah di mana anda melihat keputusan dan penyelesaian.

“Jadi, saya akan katakan untuk meneruskan perbincangan secara rahsia. Saya rasa adalah sangat penting untuk mengekalkan dialog,” kata Mahbubani.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan minggu lalu di Universiti Taylor’s bertajuk ‘US-China Rivalry: Will Southeast Asia Come Out on Top?’.

Baru-baru ini, Wisma Putra enggan memberi komen mengenai laporan Defence Security Asia bahawa tiga kapal pengawal pantai China dikesan dalam had EEZ Malaysia pada 3 Sept.

Kapal-kapal tersebut dilaporkan meronda di kawasan berhampiran pelantar minyak Petronas di medan gas Kasawari, di luar pantai Sarawak. Kawasan itu dikatakan mempunyai simpanan gas yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit.

Kementerian Luar, dalam kenyataan pada 9 Sept berkata ia menyedari laporan tersebut tetapi tidak mahu mengulas kerana perkara itu di bawah bidang kuasa pihak berkuasa keselamatan dan pertahanan negara.

Pada awal bulan ini, portal berita Filipina menerbitkan nota diplomatik rahsia dari China kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Beijing, yang mendesak Malaysia untuk segera menghentikan aktiviti di kawasan tersebut.

Laporan itu menyebabkan Wisma Putra melancarkan siasatan dalaman mengenai kebocoran nota tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.