
Jurucakap Filipina bagi Hal Ehwal Asean, Dominic Xavier M Imperial mengesahkan rundingan itu akan berlangsung di Cebu, namun tidak mendedahkan lokasi atau tarikh khusus, tetapi menyatakan butiran mesyuarat berkenaan sulit.
Beliau menyifatkan rundingan bakal diadakan itu petanda terdapat ‘pergerakan’ atau perkembangan dalam rundingan CoC berkenaan.
“Kami ingin menegaskan Filipina, selaku pengerusi Asean, sedang memudahkan kemajuan perbincangan ini dengan menggalakkan lebih banyak mesyuarat diadakan supaya kita sekurang-kurangnya dapat berusaha memuktamadkan rundingan dalam tempoh ditetapkan,” katanya dalam taklimat media di sini pada Selasa.
Media tempatan melaporkan rundingan itu akan diadakan 30 Jan ini, sehari selepas Mesyuarat Permukiman Menteri Luar Asean di sini.
Mengenai jangkaan bagi rundingan itu, Imperial berkata, sukar meramalkan hasilnya, namun menekankan kepentingan bagi semua pihak untuk duduk bersama dan berunding.
Beliau berkata, kekerapan mesyuarat yang diadakan adalah signifikan kerana ia menunjukkan kemajuan dalam rundingan itu.
Minggu lalu, Menteri Luar Malaysia, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, rundingan CoC menunjukkan kemajuan ketara dengan hampir 70% kandungan dipersetujui, namun perbincangan teliti masih diperlukan bagi memastikan kedaulatan negara tidak dikompromi.
Katanya, tuntutan bertindih perlu diselesaikan melalui rundingan dua hala atau pelbagai hala, manakala CoC berfungsi menetapkan prinsip tingkah laku dan langkah membina keyakinan bagi mengelakkan ketegangan di kawasan terbabit.