Anwar mahu FAM sedia KPI untuk Harimau Malaya

Anwar mahu FAM sedia KPI untuk Harimau Malaya

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata tuntutan itu dikemukakan perdana menteri dalam pertemuan bersama pengurusan tertinggi FAM pagi tadi.

Anwar Ibrahim Hannah Yeoh
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada pertemuan mereka dengan pengurusan tertinggi FAM. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikehendaki menyediakan pelan perancangan dan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan prestasi skuad Harimau Malaya berada di landasan betul, kata Hannah Yeoh.

Menteri belia dan sukan berkata tuntutan itu dikemukakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama pengurusan tertinggi FAM pagi tadi, sebagai balasan kepada komitmen kerajaan memperuntukkan RM15 juta untuk meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan.

“Peruntukan termasuk untuk skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu juga akan dipantau secara berkala oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya di Facebook.

Pada 3 Sept, Anwar mengumumkan peruntukan RM15 juta untuk memperkukuh pasukan Harimau Malaya, dalam usaha mengangkat Malaysia sebagai gergasi bola sepak Asia.

Menurutnya, sebanyak RM10 juta dibiayai oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan manakala RM5 juta adalah komitmen daripada pihak swasta.

Selain itu, Hannah berkata KBS akan mendapatkan khidmat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk melakukan penilaian semula keberkesanan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) yang dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya penambahbaikan boleh dilakukan.

“Perdana menteri juga memaklumkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan ekosistem sukan negara dan peruntukan yang disalurkan untuk Harimau Malaya ini tidak akan mengurangkan peruntukan yang disalurkan kepada sukan-sukan lain,” katanya.

Program NFDP diasaskan pada 2014 oleh Khairy Jamaluddin, menteri belia dan sukan ketika itu. Program pembangunan bola sepak ini disasarkan kepada komuniti berumur 7 hingga 17 tahun di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.