Anak pemimpin GISBH antara 5 ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

Anak pemimpin GISBH antara 5 ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata lima lelaki berusia 28 hingga 41 tahun ditahan, termasuk anak pemimpin GISBH.

gisb
Polis turut merampas dua kenderaan tertera lambang GISBH yang dikesan bergerak ke Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam menghala Thailand kira-kira 6 petang tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Anak pemimpin Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) antara lima lelaki ditahan dalam Op Global di sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata Unit Risikan Sempadan Zon Utara mengesan dua kenderaan dengan lambang GISBH bergerak ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam menghala Thailand kira-kira 6 petang tadi.

Menurutnya, kenderaan itu dan lima lelaki ditahan dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah.

“Kelima-lima lelaki yang ditahan termasuk anak pemimpin GISBH itu berusia 28 hingga 41 tahun,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah tangkapan dan rampasan itu dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, soal siasat awal dan proses dokumentasi semua suspek sedang dijalankan.

Media sebelum ini melaporkan 172 daripada 402 kanak-kanak diselamatkan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan menerusi Op Global disyaki dieksploitasi sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Seramai 159 individu membabitkan 39 lelaki dan 120 wanita turut ditahan dalam Op Global 11 Sept lalu.

Terdahulu, Razarudin dilaporkan berkata, hasil saringan kesihatan mangsa mengesan lima elemen jenayah, iaitu penderaan fizikal dan emosi, pengantunan seksual kanak-kanak, buruh kanak-kanak, pengabaian serta kekurangan zat makanan.

Hari ini, ahli GISBH, Mohamad Riza Makar, 39, mengaku tidak bersalah Mahkamah Majistret Putrajaya atas pertuduhan mengugut seorang wanita enggan menarik balik laporan polis terhadapnya pada 9 Sept lalu.

Esok, tiga suspek kes liwat yang ditahan dalam Op Global akan berdepan 14 pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) dan 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 di Mahkamah Sesyen Seremban.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.