2 anak Dr M sudah isytihar harta, kata SPRM

2 anak Dr M sudah isytihar harta, kata SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihak penyiasatan kini sedang melakukan penyelarasan dengan peguam Mirzan dan Mokhzani.

Mirzan dan Mokhzani sudah melakukan pengisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam tempoh yang ditetapkan, kata Azam Baki.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan dua anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah melakukan pengisytiharan harta.

Tanpa mendedahkan tarikh sebenar, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Mirzan dan Mokhzani telah berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan badan itu.

“Mereka sudah mengisytihar harta kepada kami, namun pihak penyiasatan sedang buat penyelarasan dengan peguam mereka.

“Secara asasnya, mereka telah isytihar harta. Itu paling penting,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada Ogos, SPRM bersetuju memberi lanjutan masa kepada mereka untuk mengisytiharkan aset masing-masing sehingga pertengahan September ini.

Mirzan dan Mokhzani diarahkan SPRM pada Januari mengisytiharkan aset mereka sejak 1981 tahun di mana Mahathir menjadi perdana menteri.

Dua beradik itu telah menerima dua tempoh lanjutan berbanding tarikh akhir asal pada Februari.

Pada 24 Mei lepas, portal berita tempatan melaporkan kedua-dua mereka itu memohon lanjutan tempoh pengisytiharan harta walaupun telah diberikan sebelum ini.

Pengisytiharan itu untuk siasatan sedang dijalankan terhadap Mahathir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.