Siasat kematian pakar di Sabah, senator gesa KKM

Siasat kematian pakar di Sabah, senator gesa KKM

Dr RA Lingeshwaran berkata, Kementerian Kesihatan belum memberi penjelasan kepada keluarga dan orang ramai berhubung dakwaan ahli keluarga.

Lingeshwaran
Dr RA Lingeshwaran menggesa laporan pasukan petugas berhubung masalah buli di hospital beberapa tahun lalu didedahkan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang senator menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat kematian seorang pakar di hospital Sabah yang didakwa ahli keluarga mempunyai banyak persoalan belum terjawab.

Senator Dr RA Lingeshwaran, bekas pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang, berkata beliau membaca catatan Facebook adik mendiang pakar patologi dengan penuh kebimbangan dan kekecewaan berhubung kematian kakaknya pada 29 Ogos lalu.

Beliau berkata, catatan itu menyentuh dakwaan buli mungkin antara puncanya, justeru menteri kesihatan dan ketua pengarah perlu mengarahkan siasatan untuk memberi penjelasan memandangkan dakwaan berkenaan serius serta tular di media sosial.

“Saya tidak membuat kesimpulan ia benar, tetapi memandangkan dakwaan itu diketahui umum, keluarga perlukan jawapan,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, beberapa tahun lalu, di bawah pentadbiran terdahulu, sebuah pasukan petugas ditubuhkan untuk menjalankan siasatan bebas dan adil bagi mencari punca masalah buli untuk membanteras kejadian buli di hospital kerajaan.

“Apa berlaku kepada penemuan itu? Apakah langkah yang diambil untuk mengatasi kejadian buli dalam sistem? Berapa banyak lagi nyawa yang perlu dikorbankan sebelum kita bertindak secara sistematik?

“Jika ini pasangan atau anak anda atau orang tersayang, adakah anda hanya diam terima ucapan takziah?” soalnya.

Lingeshwaran menggesa pegawai KKM menjalankan siasatan segera dan ketua setiausaha negara perlu meneliti perkara itu.

Dalam catatan semalam, adik perempuan mangsa berkata, doktor terlatih di Rusia pada 2013 itu menamatkan pengajian sarjananya dalam bidang patologi kimia tahun lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkahwin tahun lalu dan melaporkan diri sebagai ketua unit patologi kimia (di sebuah hospital Sabah) Februari lalu. Walaupun berjauhan dengan suami, beliau ke sana berdasarkan janji pihak berkuasa akan dihantar ke Semenanjung selepas dua tahun.

Adik mangsa berkata, keluarganya masih terkejut selepas dimaklumkan pihak hospital pada 29 Ogos lalu, hanya enam bulan selepas melaporkan diri untuk bertugas, kakaknya telah meninggal dunia.

Masalah berkaitan tekanan serta buli di tempat kerja adalah perkara serius. Katanya, kematian kakaknya bukan sekadar tragedi peribadi, tetapi ia mencerminkan sistem penjagaan kesihatan negara.

FMT sudah menghubungi menteri kesihatan dan pegawai lain untuk mengulas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.