Kerajaan persekutuan tekad angkat martabat semua negeri

Kerajaan persekutuan tekad angkat martabat semua negeri

Perdana Menteri Anwar Ibrahim percaya dan yakin kerana permuafakatan antara pemimpin persekutuan dengan negeri, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Malaysia 2024 beri jaminan akan tungkus lumus jayakan MA63. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kerajaan persekutuan bertekad untuk mengangkat martabat semua negeri, terutama di kawasan pedalaman, terpencil dan miskin bandar, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau menzahirkan kepercayaan dan keyakinan bahawa komitmen itu mampu dicapai dengan adanya permuafakatan, perbincangan serta amalan kerja berpasukan antara pemimpin persekutuan dengan negeri, Sabah dan Sarawak.

Perdana menteri berkata tiada negeri yang tidak mempunyai sebarang masalah namun segala keluhan rakyat perlu didengar bagi memastikan keperluan penduduk berjaya dipenuhi.

“Kalau mahu Malaysia ini berjaya siapa sahaja jadi perdana menteri, siapa sahaja jadi menteri, siapa sahaja jadi pemimpin, mesti memimpin seluruh rakyat dan bangsa Malaysia,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2024 di Padang Merdeka malam tadi.

Sambutan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin.

Turut hadir Ketua Menteri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Anwar beri jaminan akan bertungkus lumus menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama rakan pimpinan dan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).

“Walaupun saya akui ada masalah yang harus kita selesaikan tetapi saya bernasib baik kerana sebaik menjawat perdana menteri, dua sahabat saya menaruh keyakinan penuh (iaitu) ketua Menteri Sabah dan premier Sarawak bermuafakat, bicara dengan terang, tegur dengan baik sebagai sahabat.

“(Mereka) mengeluh dan menuntut tetapi dalam semangat persahabatan untuk jayakan Malaysia, negara keramat kita. Saya harap pemimpin-pemimpin lain belajar daripada semangat yang mereka tunjukkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.