
Zahid yang juga pengerusi Majlis Halal Malaysia berkata Jemaah Menteri tidak pernah membuat ketetapan untuk mewajibkan semua pengusaha restoran mendapatkan sijil halal.
“Itu sebabnya perdana menteri mengarahkan menteri hal ehwal agama beritahu kedudukan sebenarnya pada hari Rabu ini (mesyuarat Jemaah Menteri). Apa keadaan sebenar tentang cadangan kajian tentang halal.
“Jangan paksa pada orang bukan Islam dapatkan sijil halal,” tegasnya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC di IDCC Shah Alam.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tertentu mendapatkan pensijilan halal masih di peringkat lontaran idea, dan kajian belum diadakan.
Katanya, kajian akan perlu melalui sesi libat urus bersama pemegang taruh termasuk di peringkat negeri kerana isu halal dalam bidang kuasa negeri, dan seterusnya ke Jemaah Menteri.
Na’im pada 5 Sept berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.
Cadangan itu mengecualikan restoran menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.
Dalam maklum balas, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkata pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran.
Katanya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
Kenyataan berkenaan menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.