
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Saravanan Thambirajah, berkata pihaknya menyambut baik inisiatif diperkenalkan kini antaranya pemansuhan diskaun produk makanan dan minuman mengandungi gula daripada senarai barangan dalam program Jualan Rahmah Madani.
Selain itu, pengurangan penggunaan gula sebanyak 50% dalam semua acara anjuran kerajaan mulai 1 Ogos lalu.

“Fomca berharap kerajaan dapat perbanyakkan lagi program pengurangan minuman bergula dengan menyasarkan golongan belia dan kanak-kanak.
“Program itu mampu mewujudkan persekitaran sihat dan menyeluruh namun perlu dilakukan dengan strategi efektif,” katanya kepada FMT.
Kerajaan melancarkan kempen perangi gula pada 8 Sept, susulan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 yang melaporkan 54.5% golongan dewasa berlebihan berat badan, malah 50% penjawat awam di Putrajaya mengalami obesiti.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Nadzim Johan, berkata penghapusan diskaun makanan dan minuman mengandungi gula dalam program Jualan Rahmah Madani boleh memberi kesan ketara kepada tabiat pemakanan orang ramai.
“Dengan menyokong pengurangan pengambilan gula, kita boleh mengurangkan kos penjagaan kesihatan dan meningkatkan kualiti hidup berjuta-juta rakyat Malaysia,” katanya.