Serbuan ke atas rumah amal menyusuli risikan enam bulan

Serbuan ke atas rumah amal menyusuli risikan enam bulan

KPN berkata Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pihaknya menyiasat syarikat yang dikaitkan sejak 2011.

Pada Rabu lepas, JSJ Bukit Aman menyerbu rumah amal yang terletak di Selangor dan Negeri Sembilan, dikaitkan dengan sebuah syarikat didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.
KUALA LUMPUR:
Serbuan ke atas 20 rumah kebajikan yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) berhubung dakwaan eksploitasi serta penderaan kanak-kanak adalah hasil risikan dan siasatan oleh polis selama enam bulan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pihaknya menyiasat syarikat itu sejak 2011 iaitu sebelum dakwaan terhadap GISBH tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya juga bertemu wakil Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) enam bulan lepas.

“Mereka juga yang menyalurkan maklumat awal dan memudahkan siasatan semula pelbagai laporan polis yang dibuat terhadap GISBH,” katanya ketika dihubungi.

Razarudin berkata polis turut menerima satu laporan yang dibuat oleh bekas ahli GISBH dari Negeri Sembilan namun ia ditarik balik.

“Wanita itu kemudian membuat laporan baharu dan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata wanita itu memberi polis satu petunjuk yang boleh dipercayai dan diambil tindakan.

Razarudin berkata walaupun siasatan sudah bermula enam bulan lepas, polis tidak terlambat untuk bertindak dan mereka hanya boleh membuat tangkapan selepas menerima petunjuk yang boleh dipercayai.

“Saya juga menyeru bekas ahli GISBH yang pernah membuat laporan polis sebelum ini dan menariknya balik selepas itu supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Pada Rabu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu rumah amal terbabit yang terletak di Selangor dan Negeri Sembilan, dikaitkan dengan sebuah syarikat didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Polis menyelamatkan 402 individu iaitu 201 lelaki dan 201 perempuan berumur lingkungan setahun hingga 17 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.