‘Sarawak takkan terima fahaman PAS’, pemimpin PBB kritik idea muafakat

‘Sarawak takkan terima fahaman PAS’, pemimpin PBB kritik idea muafakat

Tidak mungkin PAS boleh selami sanubari rakyat Sarawak, menurut seorang pemimpin.

Abdul Karim Rahman Hamzah
Abdul Karim Rahman Hamzah mengingatkan keutamaan politik GPS ialah membawa perubahan dan kebaikan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemimpin parti utama di Sarawak sama sekali tidak optimis dengan idea ‘muafakat politik’ dengan PAS, yang membawa fahaman jelas ditolak rakyat negeri itu.

Bahkan, keengganan PAS menerima suara hati rakyat Sarawak dipersoalkan, meskipun ia dibuktikan berulang kali sepanjang sejarah pilihan raya di negeri Bumi Kenyalang itu.

“Sarawak tidak akan menerima fahaman PAS,” tegas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Abdul Karim Rahman Hamzah.

“PAS mencuba nasib bertanding banyak kali PRU atau PRK di Sarawak. Belum pernah menang malah kalah teruk. Rakan muafakat politik apa lagi yang PAS nak untuk bertapak?”

Kelmarin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata wujudnya keperluan bagi PAS di Sabah dan Sarawak mendapatkan rakan ‘muafakat politik’, termasuk kemungkinan autonomi di dua negeri itu untuk merancang strategi bersesuaian politik setempat.

PBB merupakan parti tunjang dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang terbentuk selepas tumbangnya Barisan Nasional di Semenanjung.

Karim mengingatkan keutamaan politik GPS ialah membawa perubahan dan kebaikan. “Tapi apa tujuan PAS nak masuk Sarawak? PAS adalah parti Islam dan tak sampai 30% rakyat negeri ini yang beragama Islam.”

Senada pandangan itu, Ketua Penerangan PBB, Idris Buang, berkata PAS harus terima hakikat ia tidak menyelami sanubari rakyat Sarawak.

“Tak mungkin PAS boleh menyelami sanubari rakyat Sarawak seperti GPS lakukan dalam menyantuni kehendak rakyat yang berbilang kaum dan agama, serta adat resam yang sangat berbeza dengan di Semenanjung,” katanya.

Idris akui bahawa rakyat Sarawak ‘agak berhati-hati’ dengan PAS, melihat kepada situasi politik di Semenanjung.

Malah, katanya parti yang membentuk GPS serik dengan ‘sepak terajang’ politik di Semenanjung, semasa pilihan raya 2018 yang membawa kepada kejatuhan Barisan Nasional.

“PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Parti Demokratik Progresif, dan Parti Rakyat Sarawak misalnya sangat tertekan dan terkesan oleh corak dan rentak serta sepak terajang politik di Semenanjung yang sangat tidak menentu.

“Padahal isu politik di Semenanjung begitu berlainan sekali dengan yang ada di Sarawak, tetapi kita tidak dapat mengawal kerosakan sehingga kemenangan BN Sarawak tidak dapat membantu Umno, MCA dan MIC di Semenanjung.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.