
Sehubungan itu, beliau mahu siasatan segera terhadap kes terbabit yang dikesan dalam serbuan polis di 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan, Rabu lalu supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.
Menurut Anwar, beliau menyerahkan kepada polis dan jabatan agama menggunakan kuasanya untuk melakukan siasatan.
“Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) (juga) ada kekuatan penyiasatan dan pendidikan untuk memberi nasihat.
“Soal penyalahgunaan kuasa, agama atau penderaan anak-anak ini soal serius bagi umat, ramai tertanya-tanya mengapa lewat ambil tindakan.
“Jadi saya telah membawa keadaan supaya ambil tindakan segera,” katanya ditemui pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Al-Iman di Kampung Desa Putra.
Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun dipercayai mangsa eksploitasi diselamatkan selepas polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.
Mangsa terdiri 201 lelaki dan 201 perempuan itu terdiri daripada anak-anak ahli sebuah syarikat.
Seramai 171 individu turut dilaporkan ditahan dalam serbuan bermula 6 pagi itu.
Semalam, dilaporkan polis akan mengambil keterangan beberapa individu termasuk pengarah eksekutif Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) dalam masa terdekat bagi membantu siasatan dakwaan syarikat itu terbabit eksploitasi kanak-kanak.
GISBH menafikan terbabit dalam kes itu termasuk pendedahan ada penghuni rumah amal terbabit menjadi mangsa liwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.