
Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam kenyataan memaklumkan, terdapat spekulasi berbentuk hasutan dibuat pihak tertentu yang menuduh kerajaan bertindak tanpa perikemanusiaan mengusir penduduk kampung di kawasan itu.
Jelasnya, operasi diketuai SFC yang diselaraskan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) dengan kerjasama polis, Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Jabatan Peguam Besar Sarawak (SAGC), Pejabat Residen Bahagian Bintulu serta Pejabat Daerah Bintulu dilaksanakan berikutan isu pencerobohan Taman Negara Similajau Ext 1 berlarutan sejak 2004.
“Keadaan ini berlarutan sejak 2004, iaitu pada tahun tersebut berlakunya pencerobohan seperti pembalakan haram, penerokaan untuk tujuan pertanian, mendirikan struktur haram termasuk menetap dalam kawasan Taman Negara Similajau oleh warga asing yang menjadi pekerja kebun sawit diusahakan peneroka haram.
“Sepanjang tempoh 20 tahun itu, pelbagai usaha dilaksanakan Jabatan Hutan Sarawak dan SFC dalam membanteras aktiviti pencerobohan.”
Menurutnya, operasi itu dilakukan selepas mendapat waran pengusiran daripada mahkamah untuk mengusir penceroboh menduduki taman negara berkenaan secara haram.
Katanya, tindakan pengusiran itu juga berpandukan bidang kuasa sedia ada menerusi Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi 1998.
“Tindakan memasuki Taman Negara tanpa kebenaran pengawal Taman Negara dan Rizab Semula Jadi satu kesalahan dalam ordinan tersebut.”
Taman Negara Similajau yang terletak 28km dari Bintulu dan berkeluasan 7,064 hektar diwartakan pada 1976, manakala Taman Negara Similajau Ext 1 diwartakan pada 17 Feb 2000 dan pada asalnya terletak dalam kawasan Hutan Simpan Similajau yang diwartakan pada 1 Dis 1959.
Persempadanan Taman Negara Similajau dilaksanakan serta diperakui Jabatan Tanah dan Survei pada 2018.