
Tiga individu berusia 30 hingga 33 tahun yang dibayar gaji bulanan RM3,000 hingga RM5,000 itu ditahan dalam dua serbuan sekitar Kuala Lumpur pada 4.50 petang Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata seorang lelaki bekerja sebagai penjaga stor ditahan menerusi serbuan pertama di parkir sebuah kondominium di Cheras dan methamphetamine dianggarkan seberat 182.9g ditemui dalam sebuah Proton Saga.
Katanya, polis kemudian menyerbu seunit kondominium menggunakan kunci dirampas daripada suspek pertama dan menahan seorang lelaki bekerja sebagai penghantar.
“Pemeriksaan dalam kediaman itu menemui 111.23kg methamphetamine, 29.06kg kanabis, 7.51kg pil ekstasi dan 6.07kg kristal mdma,” katanya menurut Harian Metro di IPK Kuala Lumpur.
Beliau berkata, suspek ketiga dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah itu ditahan dalam serbuan kedua ke atas sebuah restoran di Taman Mutiara, Kuala Lumpur pada hari sama.
Menurutnya, sindiket itu menyewa kondominium RM2,000 sebulan sejak enam bulan lalu untuk dijadikan stor penyimpanan, sebelum mengedar dadah itu ke sekitar Lembah Klang.
Katanya, semua dadah dirampas itu bernilai lebih RM5.88 juta dan boleh digunakan kira-kira 660,500 penagih.
Khaw berkata, polis turut merampas sebuah Nissan Almera dan Proton Saga bernilai RM55,000 serta wang tunai RM750.
Beliau berkata, tiga suspek itu memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah itu, tetapi ujian air kencing mereka negatif dadah.
“Kita giat mengesan dalang utama sindiket itu dan tidak menolak kemungkinan dadah berkenaan diperoleh dari negara di utara Semenanjung,” katanya sambil menambah tiga suspek direman tujuh hari hingga 18 Sept ini untuk siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.