
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil, berkata pembangkang seharusnya bersikap lebih konstruktif dan progresif dengan mengetengahkan isu yang memberi manfaat kepada rakyat, bukan mengungkit perkara boleh menimbulkan ketegangan atau sudah tidak relevan.
“Jangan guna rakyat untuk kepentingan politik atas nama 3R, ia tidak memberikan faedah kepada mana-mana pihak. Jadi perkara itu perlu dihindari.
“Malah, isu harga diesel juga sudah tidak relevan untuk dibangkitkan kerana kerajaan sudah menyediakan insentif tunai menerusi penyelarasan bahan api itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan B40 dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Bot Nelayan di LKIM Kuala Besar.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di Kluang, Johor.
Ketua Pemuda Umno Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, diumum calon Barisan Nasional (BN) manakala bekas pemain bola sepak Johor FA Mohamad Haizan Jaafar, 61, pula calon Perikatan Nasional (PN).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.