Pesara kerajaan ditipu RM1.06 juta

Pesara kerajaan ditipu RM1.06 juta

Wanita berusia 67 tahun itu bukan sahaja serah kad ATM kepada sindiket malah menuruti arahan pindah wang RM590,000.

Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris
Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris, berkata berlaku 75 kali transaksi daripada akaun mangsa menerusi ATM sebanyak RM476,550. (Gambar Bernama)
IPOH:
Wanita warga emas kerugian lebih RM1 juta akibat terpedaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai sebuah agensi kerajaan dan pegawai polis.

Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris, berkata pesara kerajaan berusia 67 tahun itu membuat laporan polis di Taiping pada Selasa lalu setelah menyedari dirinya ditipu sindiket berkenaan sejak Ogos.

“Mangsa menerima panggilan telefon pada 8 Ogos daripada seorang wanita kononnya pegawai agensi kerajaan yang mendakwa kad bank milik mangsa terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram.

“(Panggilan) wanita itu kemudian disambungkan dengan seorang lelaki yang mendakwa sebagai sarjan Tan Keng Seng kononnya mahu menyelesaikan kes terbabit yang berada dalam siasatan pihak polis.

“Mangsa dihubungi beberapa pegawai polis dengan mengarahkannya meletakkan kad bank di dalam sampul surat di atas rumput di alamat yang diarahkan suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Perak 2024 kepada 247 penerima terdiri daripada pesara polis, pegawai kanan, dan pegawai rendah polis di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Mengulas lanjut, Azizi berkata mangsa kemudian menerima mesej pengeluaran wang daripada akaun bank miliknya bermula 16 Ogos hingga 23 Ogos di dua akaun berbeza dan 75 kali transaksi menerusi pengeluaran mesin juruwang automatik (ATM) membabitkan jumlah RM476,550.

“Mangsa juga telah diarahkan oleh dua suspek supaya memindahkan lagi wang dalam akaun banknya ke akaun pihak ketiga untuk siasatan dan mengelakkan wang dalam akaun terbabit dibekukan.

“Kedua-dua suspek juga berjanji akan mengembalikan wang mangsa setelah siasatan selesai dan kerana percaya dengan kata-kata suspek, mangsa melakukan 24 transaksi pemindahan wang daripada akaun bank sebanyak sembilan kali melibatkan jumlah RM590,000.

Menurut Azizi, setelah membuat semakan melalui penyata dua bank miliknya, mangsa mendapati dirinya telah mengalami kerugian sebanyak RM1.06 juta.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.