Pembantu pusat jagaan didakwa tekap sudu besi panas di lengan budak

Pembantu pusat jagaan didakwa tekap sudu besi panas di lengan budak

Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 19, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan mendera kanak-kanak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pembantu di pusat jagaan kanak-kanak didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas empat pertuduhan melakukan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun, Ogos lalu.

Tertuduh, Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin dan Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan empat pertuduhan itu, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun telah menganiayai mereka dengan cara menekap sudu besi panas di lengan mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.

Kesalahan itu dilakukan sekitar Ogos di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria di Rasah, Seremban.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noraziha Asmuni dan Syamimi Farhana Muhammad A Aziz tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan itu adalah jenayah melibatkan kanak-kanak.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberikan jaminan rendah kerana menghidap sakit saraf dan tulang belakang.

Dia juga memberi alasan tidak diberi gaji oleh pusat jagaan itu sejak bekerja selama lima bulan dan hanya mendapat elaun RM300 sebulan.

Bagi dua pertuduhan dibacakan di hadapan Surita, beliau menetapkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga mengarahkan tertuduh tidak menganggu mangsa selain melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada.

Bagi dua pertuduhan dibacakan di hadapan Meor Sulaiman, beliau tidak membenarkan jaminan.

Mahkamah menetapkan semua kes itu disebut semula pada 18 Oktober depan.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam serbuan dilakukan, seramai 171 individu turut ditahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.