
Tertuduh, Rosnah Mat Zain, 57, dijatuhi hukuman selepas membuat pengakuan itu terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Hakim Ibrahim Osman turut mengarahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Ketika membacakan penghakimannya, Ibrahim turut menasihati tertuduh supaya bertaubat dan berhati-hati membuat keputusan sebagai penjawat awam.
“Selepas ini berhati-hatilah dalam membuat tindakan sebagai penjawat awam. Ini baru (hukuman) dunia, belum akhirat. Bertaubatlah,” katanya menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Rosnah didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Invoice Brickwork Resource, PO No BWR/1221/001 bertarikh 6 Disember 2021 kepada sebuah sekolah rendah di Teluk Intan untuk pembayaran pembelian alat muzik piano berjumlah RM10,200 yang mana dokumen itu adalah palsu.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah sekolah rendah di Teluk Intan, pada 9 Disember 2021.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh memilih syarikat milik menantunya bagi kerja-kerja pembekalan alat muzik, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.
Timbalan Pendakwa Raya Sharul Azuan Ghazali dan Maziah Mansor mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.