
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata dakwaan tersebut adalah berita tidak benar selepas pihaknya mendapatkan pengesahan SPRM.
“Tiada tangkapan membabitkan ketua polis negeri dilakukan SPRM, berita itu tidak benar,” katanya kepada Bernama.
Razarudin turut menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan berita tidak benar yang boleh menjejaskan imej polis.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki turut menafikan mengenai tangkapan membabitkan ketua polis negeri berkenaan dan menyifatkan berita tersebut adalah palsu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Ahmad Dzaffir Mohd Yussof turut menafikan perkara tersebut.
“Cerita tak betul…banyak lagi cerita tidak betul dalam media sosial bukan hanya tentang ini sahaja,” katanya.
Terdahulu, tular di aplikasi Telegram berhubung tangkapan melibatkan seorang ketua polis negeri oleh SPRM dan turut menemukan wang tunai berjumlah RM4 juta.