Berhemah guna tenaga untuk berjimat

Berhemah guna tenaga untuk berjimat

Rakyat dinasihat berhemah guna elektrik untuk mengurangkan kos.

Kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk memberi subsidi penggunaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia pada tahun ini.
PETALING JAYA:
Apabila matahari terbenam, kita bingkas menekan suis lampu dan ketika malam terasa hangat, tangkas alat kawalan jauh diambil bagi menghidupkan penyaman udara.

Bila tiba hujung bulan, kita merungut bil elektrik melambung, tanpa sedar proses menyalurkan tenaga kilowatt ke kediaman seakan tidak dipeduli.

Tanpa disedari, kita sebenarnya cukup bernasib baik berbanding ramai lagi jiran tetangga di rantau Asia Tenggara.

Sebagai permulaan, semua rakyat Malaysia menikmati bekalan elektrik tanpa gangguan, meskipun kita membayar antara harga terendah untuk tenaga.

Namun, seperti ditegaskan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, keistimewaan ini memerlukan pelaburan yang tinggi.

Kos bahan api tidak terkawal

Lebih 90% tenaga elektrik di Malaysia dijana daripada sumber arang batu dan gas.

Memandangkan kita tidak mengeluarkan arang batu, selain bekalan gas Petronas yang hampir tidak mencukupi untuk menampung keperluan, kita bergantung pada import, menurut Fadillah, yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air.

Namun, ada halangannya. Harga bagi dua komoditi ini tidak menentu.

Andai berlaku konflik atau bencana alam yang membawa kepada kekurangan bekalan, komoditi ini akan menjadi lebih mahal.

Harga minyak, gas dan arang batu semakin tidak menentu pada Disember 2021 susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Dalam tempoh dua minggu pertama selepas askar Rusia masuk ke wilayah Ukraine, harga arang batu meningkat 130% manakala gas melonjak sebanyak 180%.

Situasi itu juga menyebabkan kos menjana tenaga di Malaysia meningkat.

Antara 1 Julai 2022 hingga 31 Dis 2022, kos bahan api dan penjanaan meningkat kepada RM16.2 bilion, menyebabkan surcaj ICPT sebanyak 27 sen/kWj.

Harga arang batu global melambung sekitar USD440 per tan, jauh melebihi anggaran USD79 per tan dalam tarif asas Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketika itu, kerajaan mengambil keputusan memperuntukkan RM8.82 bilion untuk mengekalkan rebat semasa bagi pengguna domestik dan tambahan RM1.9 bilion untuk menguruskan surcaj ICPT bagi sektor komersial dan industri, menjadikan keseluruhan perbelanjaan kerajaan berjumlah RM10.76 bilion.

Malangnya, walaupun dengan kos meningkat, penggunaan juga melambung didorong kesan perubahan cuaca.

“Penggunaan elektrik cenderung meningkat apabila orang ramai menggunakan sistem penyejukan di tengah-tengah gelombang haba,” kata Fadillah.

Masih murah di Malaysia

Walaupun menjana kuasa melibatkan kos tinggi, majoriti pengguna di Malaysia masih membayar kadar tarif antara yang terendah bagi elektrik.

Ia dapat dilaksanakan menerusi kombinasi pengecualian cukai dan subsidi.

Bagi permulaan, pengguna yang menggunakan kurang 600kWh elektrik sebulan tidak perlu membayar 8% cukai perkhidmatan, dikenakan bermula 1 Mac.

Dianggarkan 85% isi rumah di negara ini termasuk dalam kategori berkenaan.

Lebih daripada itu, kerajaan membelanjakan berbilion untuk menanggung subsidi elektrik bagi pengguna di Semenanjung.

Sejumlah RM1.935 bilion diperuntukkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, manakala RM2.192 bilion lagi diperlukan untuk lanjutan liputan subsidi hingga Disember.

Inisiatif itu bertujuan menyokong usaha meningkatkan infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan, kata Fadillah.

Selain subsidi dan pengecualian cukai, setiap isi rumah miskin tegar layak mendapat RM40 rebat bagi bil elektrik bawah Program Rebat Bil Elektrik.

Sejumlah RM55 juta diperuntukkan bagi tujuan itu dan ia meliputi mereka yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.

Pada masa sama, pelbagai langkah sedang diambil untuk memperbaiki penggunaan tenaga di Malaysia.

Pelan kelestarian tenaga

Pada peringkat makro, langkah sedang diambil untuk mencapai pengurangan keseluruhan sebanyak 21% dalam penggunaan tenaga menjelang 2040.

Ini akan dicapai melalui inisiatif bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), bahagian pertama sudah dilancarkan pada 27 Julai 2023.

Terdapat sasaran besar yang perlu dicapai bawah NETR.

Pertama, ia menyeru pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 15% dalam sektor kediaman dan 22% dalam sektor perniagaan (industri dan komersial) dalam jangka masa terdekat.

Ini akan meningkat kepada 20% bagi hartanah kediaman dan 23% bagi hartanah industri dan komersial menjelang 2050.

Tambahan lagi, bahagian tenaga boleh baharu (TBB) akan dinaikkan secara beransur-ansur — kepada 31% menjelang 2025, 40% menjelang 2035, dan 70% menjelang 2050.

Untuk memenuhi objektif meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan pembaziran, penggunaan akan dikawal oleh Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA) 2023 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 Okt tahun lalu.

Menurut pakar, satu lagi objektif undang-undang ini adalah untuk menyokong usaha pembangunan mampan yang selaras agenda pembangunan ekonomi hijau dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Tingkat kecekapan

Rakyat juga diharapkan untuk memainkan peranan dalam pelan peralihan tenaga (ET) dengan lebih berhati-hati dalam penggunaan elektrik mereka.

Tidak sukar untuk menjadi lebih cekap tenaga.

“Mulakan dengan tabiat penjimatan tenaga yang mudah tetapi berkesan adalah langkah pertama. Sebagai contoh, kita seharusnya mencabut palam peranti elektronik apabila tidak digunakan, beralih kepada peralatan cekap tenaga, dan mengoptimumkan tetapan penyaman udara untuk mengurangkan penggunaan,” kata Fadillah kepada FMT.

“Penetapan suhu yang disyorkan adalah 24 hingga 26 darjah celcius, tahap yang menawarkan kecekapan penggunaan tenaga terbaik,” tambahnya.

Pengguna juga boleh mengurangkan penggunaan tenaga dengan memastikan susun atur peti sejuk agar aliran udara lebih lancar, memastikan kawasan sekitar penyaman udara sentiasa bersih dan membuka tingkap untuk membenarkan cahaya semula jadi masuk.

Manfaat kepada pengguna adalah jelas. Mengurangkan penggunaan elektrik bermakna lebih banyak wang akan dapat dijimatkan.

Penjimatan daripada penggunaan peralatan cekap tenaga juga boleh terkumpul sepanjang tempoh hayat produk untuk menampung pelaburan awal.

Pakar mengatakan rumah yang cekap tenaga berkemungkinan mempunyai nilai pasaran lebih tinggi berbanding sebaliknya.

Mengurangkan penggunaan tenaga juga akan memastikan seseorang kurang terdedah kepada kenaikan bil elektrik.

Pada tahap makro, manfaatnya sangat besar. Ia mengurangkan permintaan keseluruhan untuk elektrik, yang diterjemahkan kepada pengurangan kebergantungan kepada sumber tenaga yang mahal dan sangat mencemarkan seperti bahan api fosil.

Penyelidikan menunjukkan bahawa mengurangkan penggunaan tenaga boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 25% hingga 30%.

Seperti ditegaskan Fadillah, dengan menjimatkan elektrik, rakyat boleh menyumbang kepada masa depan tenaga yang mampan.

Pelan masa depan

Hari ini, lebih 90% kuasa dijana di Malaysia menerusi penggunaan bahan bakar fosil, terutama arang batu dan gas.

Bagaimanapun, langkah sudah diambil bagi memperkenalkan semula TBB seperti kuasa hidro dan solar.

Sejak lima tahun lalu, kedua-dua sumber ini masing-masing menyumbang 5% dan 6% daripada keperluan kita.

Sektor swasta dan kerajaan sudah jauh ke hadapan dalam perjalanan menuju kecekapan tenaga di Malaysia.

Bangunan baharu kini direka secara rutin untuk menjimatkan tenaga. Dalam bangunan pintar ini, cahaya semula jadi dimanfaatkan untuk mengurangkan keperluan cahaya buatan.

Panel solar di bumbung unit kediaman bukan sahaja membantu pengguna mengurangkan kebergantungan mereka pada grid tetapi juga membolehkan menjana pendapatan tambahan dengan menjual lebihan tenaga kepada pengeluar tenaga.

Gabungan insentif kerajaan, inovasi, dan usaha pengguna adalah semua yang diperlukan untuk mencapai sasaran NETR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.