
Pakar Ekonomi Universiti Malaya, Nazari Ismail, berkata perkara itu perlu untuk mendidik masyarakat hutang mesti dibayar.
“Punca masalah ialah sikap suka berbelanja lebih daripada pendapatan. Ini akibat kewujudan dan perkembangan industri hutang, tetapi masyarakat mesti dididik tentang bahaya hutang dan industri hutang,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi (Mdl), M Bakri Abd Majid, mendedahkan kira-kira 10% hingga 13% kes kebankrapan baharu didaftarkan dalam tempoh berkenaan membabitkan penjawat awam.
Beliau berkata, lebih membimbangkan ia menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun walaupun data kebankrapan nasional menunjukkan penurunan.
Katanya, berdasarkan data terbuka Mdl statistik kebankrapan individu daripada sektor awam adalah 12% pada 2020, 2021 (10%), 2022 (11%), 2023 (13%) dan 14% sehingga kini tahun ini.
Susulan itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengingatkan kakitangan kerajaan berbelanja dengan berhemah dan tidak membuat hutang baharu apabila gaji dinaikkan antara 7% hingga 15% mulai Disember.
Aimi Zulhazmi dari Universiti Kuala Lumpur berpendapat, penjawat awam bankrap akan memberi kesan besar terhadap operasi kerajaan, sambil menambah kumpulan itu sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat.
Bagaimanapun, Aimi tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku disebabkan ketiadaan pengetahuan mengenai kewangan sehingga ada antara mereka yang menjadi penjamin kepada ahli keluarga mahupun rakan.
“Lebih merisaukan jika mereka penguat kuasa undang-undang, yang mungkin tertekan dengan kedudukan kewangan masing-masing lalu menyerahkan diri kepada gejala rasuah,” katanya.
Sementara itu, Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School menggesa kerajaan mewajibkan penjawat awam mengikuti kursus pengurusan kewangan peribadi terutama bagi yang baru memulakan perkhidmatan.
“Tindakan yang diambil jika bankrap mesti bertumpukan kepada bantuan penstrukturan komitmen kewangan seperti dilakukan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).