76% pemegang sijil halal P Pinang syarikat bukan Muslim

76% pemegang sijil halal P Pinang syarikat bukan Muslim

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata data menunjukkan peniaga bukan Bumiputera yakin pensijilan itu tanpa kira agama atau bangsa.

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata pensijilan halal negara berada di tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di Pulau Pinang dikuasai 76% syarikat bukan Muslim iaitu bukan Bumiputera dan milikan asing, manakala selebihnya 24% syarikat Muslim (Bumiputera) sejak awal Januari hingga Jun tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Mohamad Abdul Hamid, berkata ia melibatkan 462 syarikat bukan Muslim dan 139 syarikat Muslim yang semuanya melibatkan industri mikro, kecil, sederhana, multinasional, dan milikan asing.

Beliau yang juga timbalan ketua menteri I, berkata data itu menunjukkan bahawa peniaga bukan Bumiputera mencatatkan peratusan lebih tinggi bagi permohonan sijil halal, berbanding peratusan peniaga Bumiputera, justeru membuktikan pensijilan halal Malaysia diyakini semua pihak tanpa mengira latar agama mahupun bangsa.

“Malahan, bagi terus menggalakkan permohonan pensijilan halal itu prosesnya juga telah dipercepat dan bagi Pulau Pinang daripada 90 hari kepada 30 hari bekerja mulai November tahun lepas,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan statistik, katanya jumlah pemegang sijil halal juga menunjukkan peningkatan setiap tahun iaitu 56 syarikat pada 2008, berbanding 1,651 syarikat sehingga Ogos tahun ini, melibatkan syarikat produk makanan, bahan gunaan, premis perniagaan, hotel, rumah sembelihan, kosmetik, dan logistik.

Hal itu sekali gus menunjukkan kesedaran dan permintaan pengguna terhadap produk serta perkhidmatan halal semakin meningkat saban tahun.

Mohamad berkata, pensijilan halal Malaysia juga memberi peluang untuk meningkatkan keyakinan pelanggan dan membuka pasaran yang lebih luas, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Beliau berkata, pensijilan bagi domestik terbuka kepada sembilan skim iaitu premis makanan, produk makanan dan minuman, produk kosmetik, produk farmaseutikal, produk barang gunaan, produk peranti perubatan, perkhidmatan logistik, rumah sembelihan, dan pengilangan kontrak (OEM).

Menurutnya pengusaha yang mendapat pensijilan halal mempunyai kelebihan kompetitif dan dipercayai pelbagai lapisan masyarakat, malah berdasarkan laporan State of Global Islamic Economy (SGIE) 2023 oleh Dinar Standards, Malaysia berada di tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk terus menyokong usaha dan komitmen Jakim dalam meningkatkan lagi permohonan pensijilan halal Malaysia daripada syarikat-syarikat, selain memastikan pengurusan SPHM berada pada tahap terbaik dan menjadi kebanggaan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.