
KOTA BHARU: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga lelaki, termasuk dua warga Thailand kerana memiliki 60,000 pil yaba dan 2kg syabu bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan di dua rumah dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata semua suspek berusia 31 hingga 36 tahun itu ditahan pada 6 petang Ahad.
“Hasil saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.
“Semua lelaki itu dan dadah dirampas diserahkan kepada IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 39B, 39A(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.