Kes demam denggi menurun, catat 4 kematian

Kes demam denggi menurun, catat 4 kematian

Sebanyak 1,765 kes dicatatkan pada Minggu Epidemiologi 35 iaitu bagi tempoh 25 hingga 31 Ogos berbanding 1,980 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME 35 sebanyak 96,572 kes berbanding 80,201 kes bagi tempoh sama 2023. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jumlah kes demam denggi dilaporkan menurun kepada 1,765 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 35 iaitu bagi tempoh 25 hingga 31 Ogos berbanding 1,980 kes pada minggu sebelumnya dengan empat kematian dilaporkan akibat komplikasi.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME 35 sebanyak 96,572 kes berbanding 80,201 kes bagi tempoh sama 2023.

“Terdapat 88 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 57 kematian bagi tempoh sama pada 2023,” katanya dalam kenyataan.

Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME 35 sebanyak 64 lokaliti berbanding 85 pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata daripada 64 lokaliti yang dilaporkan, 45 di Selangor, tujuh di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga masing-masing di Negeri Sembilan, Kelantan dan Perak manakala satu lokaliti masing-masing di Kedah, Sabah dan Sarawak.

Radzi berkata bagi survelan chikungunya, terdapat dua kes direkodkan pada ME 35 dan tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada minggu itu.

Jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini ialah 70 kes.

Bagi survelan zika, Radzi berkata sebanyak 1,834 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan Zika dan keputusannya negatif.

Beliau berkata risiko penyebaran demam denggi akan meningkat terutama semasa cuti sekolah dan cuti umum disebabkan pergerakan orang ramai.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan mengingatkan masyarakat termasuk pihak sekolah dan kontraktor agar sentiasa memastikan tiada bekas yang boleh menakung air di persekitaran premis yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes sebelum cuti penggal kedua persekolahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.