Persatuan perkenal garis panduan elak insiden ‘Abang Bas’

Persatuan perkenal garis panduan elak insiden ‘Abang Bas’

Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia akan beri garis panduan baharu pada mesyuarat agung 19 Sept.

Pemandu bas muat naik kandungan berkaitan murid ditahan di Simpang Renggam, semalam.
PETALING JAYA:
Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia akan memberikan garis panduan kepada ahli pada mesyuarat agung 19 Sept ini, susulan penahanan seorang pemandu yang memuat naik kandungan murid di TikTok.

Presiden Amali Munif Rahmat berkata pihaknya sudah memberi peringatan kepada ahlinya supaya tidak mengulangi perbuatan suspek berusia 24 tahun yang ditahan polis di Simpang Renggam, Johor, semalam, susulan laporan dibuat terhadapnya.

“Kita hantar peringatan kepada ahli kita apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan kepada seluruh persatuan di seluruh negara.

“Kita juga tubuhkan garis panduan yang akan diberitahu pada mesyuarat agung 19 Sept ini,” katanya kepada FMT.

Pemandu bas sekolah itu yang mempunyai lebih 640,000 pengikut di TikTok, sering memuat naik video jelas memaparkan wajah murid yang menjadi penumpangnya.

Amali berkata, tidak semua pemandu bas memahami peruntukan dalam Akta Kanak-kanak serta Akta Komunikasi dan Multimedia, menyebabkan ada antara mereka tidak menyangka sesuatu tindakan dibuat menyalahi undang-undang.

Sementara itu, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan garis panduan khas dan etika pemanduan, supaya pemandu yang membawa pelajar sekolah mengikut undang-undang dan beradab.

Presiden Mohamad Ali Hasan turut mencadangkan sekolah mengambil rekod setiap pemandu bas dan mewajibkan mereka menandatangani aku janji untuk sentiasa patuh pada undang-undang.

“Butiran pemandu perlu dikemukakan kepada sekolah bagi mengetahui tahap kesihatan mental, psikologi.

“Perlu juga ada penilaian dan analisis rekod  pemandu, KPM dan pihak sekolah kena lihat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.