Sarawak runding jadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027

Sarawak runding jadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027

Menteri sukan Sarawak berkata secara prinsip kerajaan negeri bersetuju jadi tuan rumah temasya itu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penyertaan Sabah sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027 akan dibincang lanjut. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sarawak kini dalam perundingan menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027, menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, perbincangan melibatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kerajaan pusat.

Katanya, Sarawak telah bersetuju secara prinsip menjadi tuan rumah bersama temasya sukan serantau tersebut.

Namun, penglibatan negeri lain seperti Sabah masih dalam perbincangan dan akan diputuskan melalui mesyuarat bersama kerajaan pusat dan KBS.

“Sama ada Sabah akan turut serta sebagai penganjur bersama atau tidak, keputusan itu akan dibuat dalam perbincangan lanjut,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Matta Fair di Pusat Perdagangan dan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Pada Khamis, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Ellron Alfred Angin, dilaporkan berkata kerajaan negeri bersetuju mempertimbangkan menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Ellron berkata, Kabinet negeri sebulat suara bersetuju mengenai perkara itu dalam mesyuarat dipengerusikan Ketua Menteri Hajiji Noor, selepas meneliti pelbagai aspek dalam penganjuran bersama acara sukan serantau tersebut.

Terdahulu, Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, berkata kerajaan negeri belum membuat sebarang komitmen kewangan berkaitan penganjuran bersama Sukan SEA 2027.

Masidi berkata, Sabah belum bersedia untuk menjadi penganjur bersama memandangkan kemudahan sukan di negeri itu masih tidak mencukupi.

Minggu lalu, KBS mengumumkan Malaysia telah menerima tawaran menganjurkan Sukan SEA 2027, dengan Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak bersetuju menjadi penganjur bersama dengan Kuala Lumpur.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM700 juta, berdasarkan kos Sukan SEA 2017.

Beliau juga menyatakan Sarawak bersetuju menanggung 50% daripada kos, manakala Sabah menawarkan RM100 juta, dan Pulau Pinang RM15 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.