Penganggur mengaku salah bunuh ibu bapa

Penganggur mengaku salah bunuh ibu bapa

Susulan pengakuan bersalah itu, Afendi Muhammad Agus berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak lebih 40 tahun dan sebatan.

Afendi Muhammad Agus mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan membunuh ibu bapanya di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir pada 9 Dis 2023. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh ibu dan bapanya, yang mayat mereka ditemukan dalam keadaan berlumuran darah, hujung tahun lalu.

Afendi Muhammad Agus, 43, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim K Muniandy.

Mengikut pertuduhan Afendi didakwa membunuh Muhammad Agus Omar, 82, dan Darlisma Njatu Saleh, 72, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir pada 7.10 malam hingga 7.20 malam, 9 Dis 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Muniandy meminta peguam tertuduh Mohd Ruzaini Zulkifli mendapatkan kepastian sama ada Afendi berhasrat mengekalkan pengakuan bersalah.

Bagaimanapun, tertuduh tetap mengekalkan pengakuannya walaupun diberi penjelasan sebab dan akibat pengakuan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ruzaini juga memaklumkan mahkamah bahawa beliau baharu dilantik dan memohon tarikh sebutan ditetapkan bagi beliau meneliti dokumen kes ekoran pengakuan salah tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak tidak membantah permohonan Ruzaini.

Mahkamah kemudian merekodkan bahawa tertuduh memahami sebab dan akibat pengakuan salahnya serta menetapkan 10 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.