Kes perdagang manusia Myanmar: Polis siasat Datuk Seri cari pelabur

Kes perdagang manusia Myanmar: Polis siasat Datuk Seri cari pelabur

Siasatan kini tertumpu kepada peranan Datuk Seri itu dalam mengenal pasti pelabur-pelabur berpotensi melabur di Myanmar, kata KPN.

Razarudin Husain berkata, setakat ini, 11 individu telah dirakam keterangan berhubung siasatan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa membabitkan seorang ahli politik.
KUALA LUMPUR:
Polis sedang menyiasat peranan seorang Datuk Seri yang disyaki menjadi dalang dalam kes pemerdagangan manusia di Myanmar.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, siasatan kini tertumpu kepada peranan Datuk Seri itu dalam mengenal pasti pelabur-pelabur yang berpotensi untuk melabur di Myanmar.

“Kita juga menyiasat peranan seorang lelaki disyaki mengambil kesempatan untuk menjana keuntungan dari pelabur-pelabur yang berjaya dipujuk, selain mengenal pasti hubungan beberapa individu serta dua ahli perniagaan warga China dalam kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, polis juga telah mengambil keterangan dua lagi individu berhubung siasatan sindiket itu, menjadikan keseluruhan 11 individu telah dirakam keterangan setakat ini.

Secara keseluruhan, proses merakam percakapan itu membabitkan seorang ahli politik dan suaminya, ahli perniagaan serta beberapa individu daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wartawan portal tempatan.

Semalam, media tempatan melaporkan polis sedang menganalisis dan meneliti kedudukan kewangan beberapa syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan pemerdagangan manusia di Myanmar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.